Dasar 1M1S mewajibkan
setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar
ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk
melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Justeru dengan dasar ini, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif dengan
menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun. Dasar ini adalah selaras
dengan Dasar Sukan Negara untuk membudayakan sukan di kalangan masyarakat dan
hendaklah dimulakan di peringkat sekolah melalui dua strategi iaitu Sukan Untuk
Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan.
Aktiviti sukan di bawah
Sukan Untuk Semua adalah sangat penting dalam membina kesihatan, sahsiah dan
kesejahteraan ke semua murid. Bagi Sukan untuk Kecemerlangan, prestasi murid
yang berbakat dan berpotensi hendaklah terus dibangunkan di bawah Program
Kecemerlangan Bakat Muda, Sukan Prestasi Tinggi Sekolah serta sukan lain yang
mampu ditawarkan oleh pihak sekolah. Oleh yang demikian, penyertaan setiap
murid dalam sukan adalah amat penting sebagai satu landasan mendokong aspirasi
1 Malaysia
yang sihat, cergas, dinamik dan bersatu padu. Dasar
ini selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri dalam mendokong semangat 1
Malaysia.
Matlamat
Membangunkan modal insan melalui penyertaan yang
menyeluruh dari kalangan murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun.
1. Memupuk
budaya bersukan di kalangan murid sekolah agar menjadi ahli masyarakat yang
mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas.
Objektif
1. Meningkatkan kecergasan jasmani.
2. Membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan
nilai murni.
3. Memupuk perpaduan di antara kaum.
4. Membentuk budaya sukan di kalangan murid.
5. Memenuhi naluri semulajadi murid dalam aktiviti
fizikal.
6. Memberi keseimbangan antara keperluan akademik
dengan keperluan fizikal.
7. Mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan
sukan.
Falsafah Pendidikan
Kebangsaan (FPK) bermatlamat untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis
dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani (JERI). Konsep
Dasar 1M1S diwujudkan untuk menyokong FPK agar dapat :
1. Memberi
akses kepada semua murid mendapatkan faedah daripada penglibatan dalam sukan
khususnya kepada murid yang kurang atau tidak aktif.
2. Membangunkan
sukan sekolah ke arah meningkatkan kadar penyertaan murid dalam
sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah.
3. Memberi
peluang kepada semua murid yang berbakat dan berpotensi untuk digilap ke tahap
yang lebih tinggi.
Pelaksanaan
Dasar 1M1S hendaklah mengambil kira prinsip-prinsip berikut :
1. Setiap
murid termasuk murid berkeperluan khas yang tidak mengalami masalah kesihatan
hendaklah wajib mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan.
Dasar 1M1S adalah diwajibkan untuk Tahun 4 hingga Tahun 6 di
sekolah rendah dan Peralihan , Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 di
sekolah menengah. Walau bagaimanapun murid-murid Pra Sekolah hingga
Tahun 3 digalakkan menyertai program ini berdasarkan kemampuan
sekolah.
2. Murid
boleh menyertai lebih dari satu sukan mengikut kemampuan dan sukan yang
ditawarkan oleh sekolah atau yang dijalankan dengan pengetahuan dan persetujuan
pihak sekolah;.
3. Asas
kepada 1M1S adalah pelaksanaan mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan
yang berkualiti di sekolah. Segala sumber untuk mata pelajaran pendidikan
jasmani hendaklah diguna sama bagi 1M1S.
4. Aspek
yang diutamakan adalah penyertaan aktif oleh semua murid dalam aktiviti sukan.
5. Penyertaan
dalam sukan adalah asas kepada perkembangan Intelek Rohani, Jasmani, dan Emosi
murid.
6. Ibu
bapa dan agensi luar rakan sukan adalah digalakkan untuk menyumbang kepada
pembangunan sukan sekolah.
7. Setiap
sekolah yang sudah pun mempunyai prasarana, kemudahan dan peralatan sukan
hendaklah mengoptimumkan penggunaannya bagi meningkatkan lagi penyertaan aktif
setiap murid.
Bagi memenuhi prinsip-prinsip
pelaksanaan 1M1S, setiap sekolah mempunyai pendekatan dalam melaksanakan
program sukan mengikut acuan dan kemampuan sedia ada. Dengan
itu, pelaksanaan 1M1S adalah berdasarkan kepada pendekatan berikut :
1. Aktiviti sukan bermaksud melibatkan diri dan mengambil bahagian secara
aktif dalam latihan sukan dan permainan di bawah pengurusan sekolah. Sukan yang
ditawarkan di bawah 1M1S hendaklah berunsurkan aktiviti yang melibatkan
pergerakan fizikal.
2. Aktiviti sukan di sekolah diadakan sepanjang tahun berdasarkan kepada
aktiviti rumah sukan dan kelab sukan. Kejohanan tahunan olahraga sekolah yang
didahului oleh kejohanan merentas desa dan sukan tara menjadi aktiviti teras
sukan di sekolah.
3. Pihak sekolah hendaklah mengadakan pertandingan antara tingkatan, kelas,
rumah, dorm asrama, kelab sukan sekolah. Penyertaan murid dalam kejohanan MSSD
/ MSSN / MSSM serta peringkat antarabangsa adalah merupakan aktiviti 1M1S.
Penilaian murid adalah berdasarkan kepada
sistem penilaian sedia ada yang berasaskan :
1. Kehadiran;
2. Jawatan Serta Sumbangan;
3. Penglibatan; dan
4. Pencapaian.
Perubahan pada sistem penilaian sedia ada
akan berkuatkuasa untuk murid Tingkatan 1 mulai tahun 2012 yang akan
mengikuti sistem PBS.